Monday, September 7, 2009

Kalis Buli


WALAU di sekolah mana anda berada sama ada sekolah biasa atau sekolah berasrama, gejala buli bukan lagi sesuatu yang pelik lagi.

Ia seolah-olah satu kelaziman dan pasti dihadapi oleh semua yang pernah menempuh zaman persekolahan.

Kerap kali, pelajar lelaki lebih ramai terlibat dengan kes-kes membuli.

Terdapat tiga jenis buli melibatkan fizikal seperti menendang, menumbuk, mengambil atau merosakkan barangan orang lain.

Buli jenis kedua melibatkan verbal seperti memanggil nama seseorang dengan gelaran-gelaran yang memalukan dan meminta duit saku daripada pelajar lain.

Sementara itu jenis ketiga melibatkan emosi seperti mengejek, mempersenda atau menyebarkan fitnah-fitnah mengenai seseorang.

Seperti yang diketahui, buli berlaku pada pelajar yang dilihat sebagai lemah berbanding pembuli.

Masalah buli di sekolah ini sebenarnya menjadi antara punca utama pelajar yang dibuli tidak suka ke sekolah dan akhirnya menyebabkan pencapaiannya lemah.

Perasaan takut dibuli juga menyebabkan pelajar yang dibuli enggan ke sekolah. Ada juga mangsa buli yang mula membenci sekolah.

Lebih buruk lagi, jika berterusan, kejadian buli akan memberikan tekanan emosi kepada mangsa.

Mangsa akan menjadi kesunyian, murung dan tidak selamat.

Menurut kajian yang pernah dilakukan oleh pakar psikologi kanak-kanak, mangsa yang mengalami kejadian buli berterusan akan mengalami masalah sakit perut, mimpi buruk, sentiasa gementar dan sering berada dalam ketakutan.

Sebagai ibu bapa anda perlu melakukan sesuatu untuk membantu anak anda tidak menjadi mangsa buli yang akhirnya akan menjejaskan pelajaran mereka di sekolah.

No comments:

Post a Comment